Have an account?
Gif Created on Make A Gif

January 21, 2011

Hiburan

“Demi Zat yang diriku dalam kekuasaannya! Sesungguhnya andaikata kamu disiplin terhadap apa yang pernah kamu dengar ketika bersama aku dan juga tekun dalan zikir, nescaya Malaikat akan bersamamu di tempat tidurmu dan di jalan-jalanmu. Tetapi hai Handhalah, saa’atan, saa’atan! (bergurau sekadarnya saja!). Diulanginya ucapan itu sampai tiga kali.”(HR. Muslim)

Adalah fitrah sebagai manusia untuk mencari kegembiraan bagi diri mereka. Hati ini memerlukan hiburan sebagai tujuan rehat dan bergembira. Maka mencari sesuatu hiburan itu sangat penting bagi kita. Tetapi dalam hiburan itu pastinya mempunyai had dan berlandaskan Islam.

Para sahabat juga biasa bergurau, ketawa, bermain-main dan berjenaka. Ini kerana mereka mengetahui akan keperluan jiwa mereka dan ingin memenuhi fitrah serta hendak memenuhi hak hati untuk beristirahat dan bergembira agar dapat meneruskan perjalanan mereka dalam menyusuri hidup mereka.

Ali bin Abi Talib pernah berkata: “Sesungguhnya hati itu bisa bosan seperti badan. Oleh kerana itu carilah segi-segi kebijaksanaan demi kepentingan hati.” Dan katanya pula: “Istirehatkanlah hatimu seadanya, kerana hati itu apabila tidak suka, bisa buta.”

Di zaman ini, terdapat pelbagai jenis hiburan. Teknologi yang meningkat pesat telah memberi ruang yang lebih luas untuk kita mencari hiburan yang sesuai dengan diri kita. Antaranya internet, televisyen dan juga music. Tidak salah bagi setiap muslim mencari hiburan sekiranya dapat menenangkan hati dan melapangkan dadanya, dengan syarat hiburannya itu tidak menjadi kebiasaan dan dihabiskan seluruh waktunya dalam hiburan itu.



Hiburan dari segi nyanyian:

Hal ini dibolehkan dengan beberapa syarat:

Nyanyian itu harus diperuntukkan buat sesuatu yang tidak bertentangan dengan etika dan ajaran Islam

· Cara menyanyikan yang dilakukan si penyanyi dapat mengalihkannya dari lingkungan halal kepada lingkungan haram

· Berlebih-lebihan dalam hiburan dan menghabiskan waktu untuk berhibur adalah haram

· Jika nyanyian itu dapat membangkitkan nafsu dan menimbulkan fitnah serta nafsu kebinatangannya, maka harus dijauhi nyanyian tersebut

· Nyanyian yang disertai dengan perbuatan-perbuatan haram lainnya adalah haram

Menyanyi dan muzik adalah disunatkan dalam situasi gembira, demi menunjukkan perasaan riang dan menghiburkan hati, seperti pada hari raya, perkahwinan, kedatangan tetamu yang sudah lama tidak berkunjung, aqiqah dan di waktu lahirnya seorang bayi.

“Dan dari Aisyah r.a. sesungguhnya Abu Bakar pernah masuk kepadanya, sedang di sampingnya ada dua gadis yang sedang menyanyi dan memukul gendang pada hari Mina (Aidil Adha), sedang Nabi saw. menutup wajahnya dengan pakaiannya, maka diusirlah dua gadis itu oleh Abu Bakar. Lantas Nabi membuka wajahnya dan berkata kepada Abu Bakar: Biarkanlah mereka itu wahai Abu Bakar, kerana hari ini adalah hari raya.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Hiburan dari segi Filem dan Internet:

Filem/movie dapat dipergunakan untuk hal-hal yang baik dan yang tidak baik. Ia dapat digunakan untuk tujuan dakwah juga seperti filem yang bercorak agama yang memberi nilai yang baik sebagai pengajaran.

Internet juga merupakan sumber maklumat yang berharga kepada kita. Dengan kemudahan internet, kita dapat meneroka ilmu dengan lebih meluas lagi. Malah dengan internet, pelbagai hiburan seperti muzik dan juga filem dengan mudah diperolehi.

Filem dan internet adalah halal dan baik jika dipenuhi syarat-syarat sebagai berikut :

· Subjek-subjek yang diketengahkan itu bersih dari kegila-gilaan, kefasikan dan semua hal yang dapat merosakkan aqidah, syariat dan kesopanan Islam

· Tidak melupakan kewajiban agama atau duniawi. Tidak halal seorang muslim meninggalkan sembahyang kerana akan menonton filem atau melayari internet.

Dalam berhibur, seorang muslim tidak boleh menjadikan harga diri dan perilaku seseorang sebagai sasarannya. Tidak juga dibenarkan dalam berguraunya itu untuk mengenakan orang lain, dengan menjadikan kedustaan sebagai wasilah (cara).


January 2, 2011

BIMBO



-BIMBO-

Satu perkataan yang sangat jarang kita dengar. Mungkin kebanyakan kita tidak mengetahui maksudnya. Bagi saya yang belajar di Jepun, saya juga tersilap memahaminya sebagai satu perkataan jepun 'BIMBOU' yang bermaksud miskin.

Bimbo itu ialah satu perkataan English yang digunakan sebagai ejekan kepada para wanita/gadis yang cantik tetapi tidak mempunyai tahap intellect yang tinggi.

Kenapakah saya ingin menekankan perkataan ini. Kenapakah seorang lelaki ingin berkata mengenai perkara ini. Adakah saya ingin menghina sesorang perempuan. Saya kelihatan biadab berkata begitu lagi-lagi sebagai seorang lelaki kerana saya seperti mengutuk dan menghina wanita. Tetapi bukanlah saya mengatakan mereka itu begitu secara semulajadi. Kepintaran itu berdasarkan ilmu dan ilmu itu adalah sesuatu yang dicari. Dengan usaha InsyaAllah ilmu Allah dapat kita perolehi dari pelbagai segi.

Jika saya lihat sendiri masyarakat sekarang, begitu ramai remaja perempuan yang mempunyai sifat sebegitu. Bukanlah mereka sengaja, tetapi ia berlaku kerana persekitaran dan persekitaran yang saya maksudkan itu ialah bersama lelaki.




Wanita sangat lemah kepada pujian

Bagi sesiapapun, kita sangat suka dipuji. Sebagai contoh ibu bapa memuji anak-anak mereka sebagai galakan agar anak mereka terus maju. Itu ialah satu pujian yang bertujuan baik. Tetapi bagaimana pula pujian dari seorang lelaki yang bukan mahram kepada seorang wanita.

Saya tidak begitu memahami perempuan tetapi saya yakini perempuan pastinya berdebar mendapat pujian dari seorang lelaki. Jika mereka berkeras sekali pun menolak, bagaimana pula pujian yang berterusan. Pastinya terdetik juga di hati bermula dari berterima kasih, kepada sukakan pujian dan akhirnya berkemungkinan menyukai si pemuji itu.

Bukankah sudah banyak dilihat betapa ramai perempuan sudi menyerahkan diri kepada lelaki yang baru sahaja dikenali mereka. Lagi-lagi para remaja di sekolah dan mahasiswi universiti dimana interaksi antara lelaki dan perempuan lebih-lebih lagi yang mempunyai paras rupa yang cantik.

Pujian yang pada dasarnya bertujuan merapatkan hubungan tidak kira yang bertujuan baik atau dengan tujuan memikat mungkin dapat melemahkan hati perempuan itu.

Bagi mereka yang ber'couple' pastinya lebih mudah terjerumus kepada ke'bimbo'an ini. Dengan pujian dari teman lelaki yang dicintainya, hati mudah goyah kerana cinta yang masih belum pasti.

Begitu ramai yang saya lihat berjanji akan menjaga hubungan itu supaya tidak terjerumus ke arah zina. Tetapi atas sebab ke'bimbo'an itulah, mereka akhirnya tewas. Yang lelaki tewas kerana nafsunya kerana selalu berdekatan dan nafsunya meminta pada kekasihnya yang jelita itu dan yang perempuan pula tewas pada pujuk rayu dan pujian lelaki itu.

Lelaki tidak memerlukan pujian dari wanita. Mereka lebih berminat kepada rupa. Bagi yang dapat menilai dengan baik, mereka menilai juga akhlak dan peribadi wanita itu. Tetapi yang pastinya lelaki tidak memerlukan pujian untuk dipikat.Berbeza dengan wanita.Bagi wanita pula mereka lebih suka pujian dari lelaki walaupun lelaki itu tidak menarik.

Oleh sebab itu saya katakan lelaki tidak memerlukan rupa untuk memikat wanita.
Sebaliknya mereka hanya memerlukan kemahiran menyusun kata untuk mendapatkan wanita.
Maaf jika saya dilihat seperti menghina wanita. Tidak terlintas di hati saya untuk menghina bahkan hanya untuk memberi ingatan dan pesanan.

Juga untuk menyedarkan wanita lebih-lebih lagi muslimah supaya jangan merendahkan martabat anda.Hati wanita dicipta dengan kelembutan. Oleh sebab itu mereka mudah termakan pujian. Hati mereka dipenuhi dengan kasih sayang, disebabkan itu mereka terlalu mudah mempercayai dan menyerah diri kepada lelaki.

Wahai wanita. Usahlah menjadi bimbo. Nilailah pujian berdasarkan mata hati, bukan mempercayai membuta tuli. Akibatnya lebih kepada merendahkan maruah diri.

Wahai lelaki. Perbetulkanlah niatmu. Engkaulah yang bakal memimpin isterimu dan anak-anakmu. Kelembutan wanita itu bukanlah untuk mu selagi dia bukan isterimu. Janganlah engkau mempergunakan kelembutan itu ke jalan yang salah di sisi agama.

Satu Permulaan

Assalamualaikum w.b.t...

Sudah terlalu lama dibiarkan blog ini. Dari mana datangnya perasaan ingin menulis kembali. Mungkin atas dasar ingin mengingatkan diri sendiri kembali atas segala kesalahan dan kelalaian. Kita semua ialah manusia yang lemah. Tidak terlepas dari melakukan kesilapan.



Mungkin dengan memulakan kembali perkara-perkara seperti ini dapat membantu memberi kekuatan baru dan membentuk hati supaya menjadi lebih kuat pada jalan agama. Mengingatkan diri dan juga berpeluang mengingatkan mereka yang lain.

INSYAALLAH.......
Larger Font | Smaller Font