Have an account?
Gif Created on Make A Gif

April 5, 2010

Antara Agama dan Logik


Bagi mereka yang pernah melalui pengalaman hidup di negara asing, pernahkah sesiapa mempersoalkan kepada kita tentang hukum-hukum Islam yang kita pegangi. Perkara-perkara mengenai solat, halal haram dan kehidupan harian kita. Bagi masyarakat di luar negara, berkemungkinan Islam itu sangat asing bagi mereka. Pelbagai soalan akan ditanya dan sebagai wakil yang mewakili agama ALLAH, kita harus bijak menjawab persoalan yang diberikan tanpa menyakiti mana-mana pihak, memuaskan hati mereka selain mempertahankan hukum ALLAH dan menunjukkan kelebihan yang ada pada agama kita. Sebagai pelajar yang belajar di perantauan pelbagai soalan pernah ditanyakan kepada saya tentang kehidupan saya sebagai orang Islam.

Pernah saya disoal oleh seorang rakan saya. Kenapa Islam melarang pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan. Kenapa bersentuhan tidak boleh. Tidakkah sentuhan tanpa nafsu tidak mengapa. Persoalan itu dapat dijawab dengan hanya melihat kepada perkembangan masalah gejala sosial yang terjadi sendiri di negara itu. Bagaimana terdapat ramai lelaki yang melarikan diri setelah mengandungkan perempuan itu. Bagaimana para ibu bapa menolak cucu yang telah dilahirkan hasil dari hubungan anaknya dengan orang lain tanpa perkahwinan yang sah. Perasaan mereka yang mengeluh kerana tanggungjawab yang belum sedia dipikul untuk membesarkan anak-anak kerana kekurangan persediaan dari segi hati kerana tindakan nafsu mereka sendiri.

Apakah makna solat lima waktu sehari semalam. Tidakkah dalam pemakanan kita secara logiknya dibahagikan kepada 'breakfast, lunch, tea, dinner, supper'. Begitu juga dengan ibadat yang merupakan makanan hati. Selain membicarakan mengenai keperluan untuk memenuhi jiwa yang sentiasa kosong tanpa ALLAH. Saya selalu juga melihat rakan-rakan yang melakukan pelbagai perkara yang kelihatan sangat sia-sia kerana jiwa mereka yang tidak keruan dan perasaan hati yang tidak menentu. Terdapat banyak keluhan dari mereka tentang masalah kekosongan di dalam hidup yang tidak dapat mereka ungkapkan. Di situlah agama memainkan peranan bagi mereka yang sedar.

Tetapi kita juga harus bijak menjawab setiap soalan mereka. Tidak mungkin kita akan menjawab bahawa babi itu kotor dan menjijikkan menyebabkan umat Islam menolaknya. Ini pasti menimbulkan kemarahan mereka yang memakannya. Bagi golongan yang bijak, mereka mungkin mempertikaikan bagaimana pula jika segala penyakit yang dibawa oleh babi dapat dirawat. Adakah umat Islam akan memakan babi selepas itu. Di situ kita kembali kepada Kalamullah. Betapa yakinkah kita pada al-Quran. Saya juga belum cukup mahir untuk membidas soalan itu. Sekadar mampu menjawab kerana kepercayaan kepada ALLAH yang menguji manusia dan salah satunya mengelakkan makanan itu.

Walaubagaimanapun, yang paling menyentuh hati dan fikiran saya buat masa ini adalah bila ditanyakan adakah kita memahami bahasa Arab. Apakah makna setiap sebutan yang kita lafazkan di dalam solat. Apakah makna kita membaca al-Quran setiap hari jika kita tidak memahaminya. Sedangkan orang bukan Islam sendiri mampu berfikir tentang keperluan itu, kenapakah terlalu ramai umat Islam yang gagal memahaminya.

Di kala ini, berapa ramaikah umat Islam yang benar-benar mengetahui makna bacaan di dalam solat. Kita mungkin tidak mempelajari bahasa Arab tetapi tiadakah usaha untuk sekurang-kurangnya memahami apa yang kita lafazkan setiap hari 5waktu sehari semalam. Bukankah solat itu bukan sekadar pada perbuatan tetapi juga pada hati. Bagaimanakah orang yang tidak memahami bacaan menghadirkan hati di dalam solat. Adakah setiap ikrar dan doa di dalam solat hanya kata-kata kosong kepada pencipta kita Yang Maha Esa. Bagi al-Quran juga walau tidak difahami tetapi terdapat banyak terjemahan dalam pelbagai bahasa bagi membantu kita. Membaca secara perlahan-lahan dan memahami maksud serta mengambil pengajaran dari al-Quran itu lebih baik berbanding dengan khatam berpuluh kali tanpa mengambil pengajaran di dalamnya.

Kita akan lebih bijak dalam mengendalikan perkara ini jika kita benar-benar mempelajari dan menghayati makna Islam itu sendiri. Logik itu mampu membantu dalam menunjukkan bukti tetapi akidah itu datang dari kekuatan dan kepercayaan kita kepada ALLAH SWT. InsyaALLAH.

April 4, 2010

Doa itu makbul...?

Pernahkah kita fikirkan dalam kehidupan harian tentang apa yang kita lakukan. Terlalu banyak yang kita lakukan memungkinkan doa kita lambat dimakbulkan. Salah satunya dari segi pemakanan. Dalam pemakanan kita berkemungkinan ada unsur syubahah dan jika lebih teruk lagi berkemungkinan haram. Walau tidak dari bahan itu sendiri, pernahkah kita fikirkan tentang sumbernya. Duit yang digunakan itu bagaimanakah sumbernya. Adakah usaha kita bertepatan dengan duit yang kita terima. Adakah kita mencuri tulang ketika bekerja. Dari situ juga boleh menjadi sebab rezeki yang kita dapat kurang berkat seterusnya menjadi sebab kenapa doa lambat dimakbulkan.

Dalam usaha kita melakukan ibadat dan memohon ampun di atas segala dosa kita, pernahkah kita fikirkan betapa ALLAH Maha Bijaksana dan Adil dalam menentukan apa yang paling baik untuk kita. Umpamanya seorang kaki judi yang insaf dan memohon keampunan kepada ALLAH, dan ditimpa kemalangan menyebabkan tangannya patah. Adakah bekas kaki judi itu harus mempertikaikan doanya dimakbulkan atau tidak. Malah tangan itulah dahulu yang telah berjudi. Dosa itu bukan suatu perkara yang kecil dan berkemungkinan sudah bersebati dengan diri kita. Adakah kita layak mengharapkan dosa diampunkan begitu sahaja dengan hanya menadah tangan dan berdoa tanpa suatu pengajaran yang mengajar kita. Seharusnya kita bersyukur kerana kesakitan itu juga dijadikan sebagai penghapus dosa selain diberi peluang oleh ALLAH untuk bertaubat dan terus beribadat selain memperbaiki segala kesalahan yang telah lalu.

Yang paling penting sekali adalah pernahkah kita fikirkan bahawa ALLAH sangat menyayangi kita. Berkemungkinan doa kita mustajab kerana ALLAH bencikan kita dan mempercepatkan doa kita dikabulkan. Tetapi bagi mereka yang kurang mustajab doanya itu, adakah kita tidak terfikir betapa ALLAH sentiasa merindukan hambaNya itu dan sentiasa menanti doa hambaNya itu dengan penuh kekhusyukan dan air mata hambaNya itu. Bukankah kita suka berbicara lebih lama dengan orang yang kita sayangkan. Begitu juga perumpamaannya bagi doa kita kepada ALLAH SWT.

Hidup itu sangat banyak likunya dan pada ALLAH lah tempat merayu yang terbaik. Janganlah sesiapa menyangkal kuasa ALLAH. Yang harus kita lihat adalah pada kelemahan diri dan betapa bertuahnya bagi mereka yang sedar akan kepentingan hubungan kita dengan ALLAH. ALLAH sentiasa merancang yang terbaik bagi para hambaNya. InsyaALLAH. Carilah ALLAH dan ALLAH lah sebaik-baik pendengar.

Riak Dalam Ibadah

'Sesungguhnya orang-orang munafiq itu menipu ALLAH (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya) dan ALLAH akan membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafiq). Setiap kali mereka berdiri mengerjakan solat, mereka berdiri dalam keadaan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak(menunjuk-nunjuk) kepada manusia (supaya disangka mereka orang yang beriman) dan mereka pula tidak mengingati ALLAH melainkan sedikit sahaja.' -Surah al-Nisa':142

Dalam ibadat yang kita lakukan, salah satu unsur penting yang harus dititik beratkan adalah keikhlasan di dalam mengerjakan ibadat. Antara syarat penerimaan ibadat itu adalah keikhlasan dalam mengerjakan ibadat. Kita seharusnya menetapkan ibadat kita hanya kerana ALLAH.

Malangnya kadang-kala ada sesetengah manusia yang melakukan ibadat itu dengan menyelitkan unsur riak dan menunjuk-nunjuk. Tujuan ibadat yang dilakukan hanya untuk dilihat oleh orang lain supaya disangkakan bahawa orang itu beriman. Perbuatan ini boleh membawa kepada syirik kecil dan amalannya akan menjadi sia-sia sahaja.

'Sesiapa melakukan sum'ah (supaya perbuatannya didengar oleh orang lain) ALLAH pasti memperdengarkan aibnya kepada orang ramai. Sesiapa yang melakukan perbuatan semata-mata riak (menunjuk-nunjuk) ALLAH pasti tunjukkan aibnya kepada orang ramai' -Hadith riwayat Muslim

Jika dalam ibadat kita terdetik perasaan riak tetapi perasaan itu dibenci dan diusahakan untuk menyingkirkannya, amalannya itu tetap sah.

Berbeza bagi mereka yang berdiam diri apabila timbulnya perasaan riak dan tidak berusaha menyingkirkan malah melayani perasaaan itu, amalan yang dilakukan itu dikira terbatal dan sia-sia mengikut jumhurr (majoriti) ulama.

Cabaran Dakwah Dan Keutuhan Diri

'Ikhlas adalah mengesakan hak ALLAH dalam segala amalan ketaatan dengan niat hanya untuk menghampirkan diri kepada ALLAH dan tiada apapun selain itu. Iaitu melakukan kerana makhluk lain, pujian makhluk, atau apa jua sebab-sebab yang selain daripada redha ALLAH. Boleh juga dikatakan bahawa ikhlas itu adalah pembersihan (niat) diri (semasa amalan) daripada segala perhatian manusia.'

Dakwah merupakan satu bidang yang mencabar. Dakwah merupakan salah satu proses membawa setiap insan ke jalan yang benar. Tetapi pada masa yang sama, sebagai pendakwah, salah satu kesukaran yang mungkin dihadapi adalah cabaran dalam menjaga niat dan keikhlasan dalam menyampaikan dakwah.

Seorang pendakwah seharusnya memiliki ilmu dan mempunyai akhlak yang baik sebagai contoh ikutan kepada setiap orang. Tetapi dalam masa yang sama, keteguhan hati agar tidak menganggapkan diri kita paling baik adalah amat penting. Lebih merisaukan timbul perasaan riak dan sombong, selain keujuban di dalam diri mungkin timbul sehingga merendah-rendahkan orang lain selain merasakan diri sendiri sudah cukup baik.

Sanjungan dan pujian juga merupakan salah satu faktor yang dapat mempengaruhi keikhlasan kita dalam menyampaikan dakwah. Lebih-lebih lagi apabila seorang pendakwah itu mampu menarik minat dan hati para pendengar untuk mendengar. Tidak salah memuji sesiapa pun sekiranya orang itu berhak menerima pujian itu. Tetapi kemungkinan sedikit sebanyak akan mempengaruhi keikhlasan kita kepada perasaan riak dan sombong, tambahan lagi apabila dikatakan sebagai seorang yang hebat dan berilmu.

Keikhlasan itu tidak perlu diukur, dipertikai atau diakui oleh sesiapa pun. Cukuplah sekadar niat yang benar-benar suci dalam menyampaikan ilmu ALLAH bagi membantu setiap insan mencapai tingkat iman yang diingini selain mencari redha ILAHI.
Larger Font | Smaller Font