Have an account?
Gif Created on Make A Gif

April 4, 2010

Doa itu makbul...?

Pernahkah kita fikirkan dalam kehidupan harian tentang apa yang kita lakukan. Terlalu banyak yang kita lakukan memungkinkan doa kita lambat dimakbulkan. Salah satunya dari segi pemakanan. Dalam pemakanan kita berkemungkinan ada unsur syubahah dan jika lebih teruk lagi berkemungkinan haram. Walau tidak dari bahan itu sendiri, pernahkah kita fikirkan tentang sumbernya. Duit yang digunakan itu bagaimanakah sumbernya. Adakah usaha kita bertepatan dengan duit yang kita terima. Adakah kita mencuri tulang ketika bekerja. Dari situ juga boleh menjadi sebab rezeki yang kita dapat kurang berkat seterusnya menjadi sebab kenapa doa lambat dimakbulkan.

Dalam usaha kita melakukan ibadat dan memohon ampun di atas segala dosa kita, pernahkah kita fikirkan betapa ALLAH Maha Bijaksana dan Adil dalam menentukan apa yang paling baik untuk kita. Umpamanya seorang kaki judi yang insaf dan memohon keampunan kepada ALLAH, dan ditimpa kemalangan menyebabkan tangannya patah. Adakah bekas kaki judi itu harus mempertikaikan doanya dimakbulkan atau tidak. Malah tangan itulah dahulu yang telah berjudi. Dosa itu bukan suatu perkara yang kecil dan berkemungkinan sudah bersebati dengan diri kita. Adakah kita layak mengharapkan dosa diampunkan begitu sahaja dengan hanya menadah tangan dan berdoa tanpa suatu pengajaran yang mengajar kita. Seharusnya kita bersyukur kerana kesakitan itu juga dijadikan sebagai penghapus dosa selain diberi peluang oleh ALLAH untuk bertaubat dan terus beribadat selain memperbaiki segala kesalahan yang telah lalu.

Yang paling penting sekali adalah pernahkah kita fikirkan bahawa ALLAH sangat menyayangi kita. Berkemungkinan doa kita mustajab kerana ALLAH bencikan kita dan mempercepatkan doa kita dikabulkan. Tetapi bagi mereka yang kurang mustajab doanya itu, adakah kita tidak terfikir betapa ALLAH sentiasa merindukan hambaNya itu dan sentiasa menanti doa hambaNya itu dengan penuh kekhusyukan dan air mata hambaNya itu. Bukankah kita suka berbicara lebih lama dengan orang yang kita sayangkan. Begitu juga perumpamaannya bagi doa kita kepada ALLAH SWT.

Hidup itu sangat banyak likunya dan pada ALLAH lah tempat merayu yang terbaik. Janganlah sesiapa menyangkal kuasa ALLAH. Yang harus kita lihat adalah pada kelemahan diri dan betapa bertuahnya bagi mereka yang sedar akan kepentingan hubungan kita dengan ALLAH. ALLAH sentiasa merancang yang terbaik bagi para hambaNya. InsyaALLAH. Carilah ALLAH dan ALLAH lah sebaik-baik pendengar.

0 comments:

Post a Comment

Larger Font | Smaller Font