Have an account?
Gif Created on Make A Gif

April 5, 2010

Antara Agama dan Logik


Bagi mereka yang pernah melalui pengalaman hidup di negara asing, pernahkah sesiapa mempersoalkan kepada kita tentang hukum-hukum Islam yang kita pegangi. Perkara-perkara mengenai solat, halal haram dan kehidupan harian kita. Bagi masyarakat di luar negara, berkemungkinan Islam itu sangat asing bagi mereka. Pelbagai soalan akan ditanya dan sebagai wakil yang mewakili agama ALLAH, kita harus bijak menjawab persoalan yang diberikan tanpa menyakiti mana-mana pihak, memuaskan hati mereka selain mempertahankan hukum ALLAH dan menunjukkan kelebihan yang ada pada agama kita. Sebagai pelajar yang belajar di perantauan pelbagai soalan pernah ditanyakan kepada saya tentang kehidupan saya sebagai orang Islam.

Pernah saya disoal oleh seorang rakan saya. Kenapa Islam melarang pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan. Kenapa bersentuhan tidak boleh. Tidakkah sentuhan tanpa nafsu tidak mengapa. Persoalan itu dapat dijawab dengan hanya melihat kepada perkembangan masalah gejala sosial yang terjadi sendiri di negara itu. Bagaimana terdapat ramai lelaki yang melarikan diri setelah mengandungkan perempuan itu. Bagaimana para ibu bapa menolak cucu yang telah dilahirkan hasil dari hubungan anaknya dengan orang lain tanpa perkahwinan yang sah. Perasaan mereka yang mengeluh kerana tanggungjawab yang belum sedia dipikul untuk membesarkan anak-anak kerana kekurangan persediaan dari segi hati kerana tindakan nafsu mereka sendiri.

Apakah makna solat lima waktu sehari semalam. Tidakkah dalam pemakanan kita secara logiknya dibahagikan kepada 'breakfast, lunch, tea, dinner, supper'. Begitu juga dengan ibadat yang merupakan makanan hati. Selain membicarakan mengenai keperluan untuk memenuhi jiwa yang sentiasa kosong tanpa ALLAH. Saya selalu juga melihat rakan-rakan yang melakukan pelbagai perkara yang kelihatan sangat sia-sia kerana jiwa mereka yang tidak keruan dan perasaan hati yang tidak menentu. Terdapat banyak keluhan dari mereka tentang masalah kekosongan di dalam hidup yang tidak dapat mereka ungkapkan. Di situlah agama memainkan peranan bagi mereka yang sedar.

Tetapi kita juga harus bijak menjawab setiap soalan mereka. Tidak mungkin kita akan menjawab bahawa babi itu kotor dan menjijikkan menyebabkan umat Islam menolaknya. Ini pasti menimbulkan kemarahan mereka yang memakannya. Bagi golongan yang bijak, mereka mungkin mempertikaikan bagaimana pula jika segala penyakit yang dibawa oleh babi dapat dirawat. Adakah umat Islam akan memakan babi selepas itu. Di situ kita kembali kepada Kalamullah. Betapa yakinkah kita pada al-Quran. Saya juga belum cukup mahir untuk membidas soalan itu. Sekadar mampu menjawab kerana kepercayaan kepada ALLAH yang menguji manusia dan salah satunya mengelakkan makanan itu.

Walaubagaimanapun, yang paling menyentuh hati dan fikiran saya buat masa ini adalah bila ditanyakan adakah kita memahami bahasa Arab. Apakah makna setiap sebutan yang kita lafazkan di dalam solat. Apakah makna kita membaca al-Quran setiap hari jika kita tidak memahaminya. Sedangkan orang bukan Islam sendiri mampu berfikir tentang keperluan itu, kenapakah terlalu ramai umat Islam yang gagal memahaminya.

Di kala ini, berapa ramaikah umat Islam yang benar-benar mengetahui makna bacaan di dalam solat. Kita mungkin tidak mempelajari bahasa Arab tetapi tiadakah usaha untuk sekurang-kurangnya memahami apa yang kita lafazkan setiap hari 5waktu sehari semalam. Bukankah solat itu bukan sekadar pada perbuatan tetapi juga pada hati. Bagaimanakah orang yang tidak memahami bacaan menghadirkan hati di dalam solat. Adakah setiap ikrar dan doa di dalam solat hanya kata-kata kosong kepada pencipta kita Yang Maha Esa. Bagi al-Quran juga walau tidak difahami tetapi terdapat banyak terjemahan dalam pelbagai bahasa bagi membantu kita. Membaca secara perlahan-lahan dan memahami maksud serta mengambil pengajaran dari al-Quran itu lebih baik berbanding dengan khatam berpuluh kali tanpa mengambil pengajaran di dalamnya.

Kita akan lebih bijak dalam mengendalikan perkara ini jika kita benar-benar mempelajari dan menghayati makna Islam itu sendiri. Logik itu mampu membantu dalam menunjukkan bukti tetapi akidah itu datang dari kekuatan dan kepercayaan kita kepada ALLAH SWT. InsyaALLAH.

0 comments:

Post a Comment

Larger Font | Smaller Font